• 603-2092-9373
  • info@lekirenergy.com

Program Keusahawanan Dan Pembuatan Kraftangan Lilin Bersama OKU 2017

Program Keusahawanan Dan Pembuatan Kraftangan Lilin Bersama OKU 2017

Program Keusahawanan Dan Pembuatan Kraftangan Lilin Bersama OKU 2017 telah dianjurkan pada 16 Julai 2017 di Bengkel Daya Sungai Petani, Kedah. Program ini telah dirasmikan oleh En. Ahmad Bin Rashid, Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Kedah. Program ini adalah hasil kerjasama pihak Universiti Kebangsaan Malaysia, Graduate School of Bussines (UKM-GSB).
Seramai 56 peserta Orang Kelainan Upaya (OKU) telah terpilih untuk menyertai program ini termasuk peserta dari Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Sarawak.Di samping itu, pelajar-pelajar yang mewakili Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Sungai Petani, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Merbok, dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) Merbok turut dijemput untuk menyertai program tersebut. Para peserta dan pelajar berpeluang mempelajari proses pembuatan lilin aromaterapi hasil tunjuk ajar pihak Lipidchem Sdn. Bhd. yang turut menyediakan bahan-bahan untuk membuat lilin.
Tujuan penganjuran program ini adalah untuk memupuk minat peserta OKU bagi mempelajari kemahiran yang baru kerana jika kemahiran membuat lilin ini dapat dipraktikkan oleh peserta OKU, ia boleh memberi pendapatan lumayan kepada peserta pada masa akan datang. Pengurus Bengkel Daya Sungai Petani, Pn. Nor Faida Binti Razalli berkata masa depan pekerja OKU di negara ini akan berubah jika terdapat pihak yang sentiasa memperkenalkan bidang baru untuk diceburi mereka dari semasa ke semasa.
Selain itu, Dr. Zainab Binti Idris dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah menyampaikan ceramah berkaitan dengan industri sawit di Malaysia dan faedah hasil tanaman pokok kelapa sawit kepada manusia yang boleh dijadikan panduan kepada semua peserta program. En. Cheng Yin Tiong dari Lipidchem Sdn. Bhd. turut memberi pengenalan berkenaan produk-produk yang dihasilkan oleh syarikat beliau termasuk bahan mentah untuk menghasilkan lilin aromaterapi. Pengarah program, Nurul Aimi Binti Mohamad berkata beliau berpuas hati kerana semua peserta mengikuti ceramah yang disampaikan dengan khusyuk dan program ini dapat dilaksanakan dengan baik.

lekirenergy